Ada apa pada KEMERDEKAAN?
Ada apa pada 31 Ogos?
Why it is so special?
Pernahkah anda terfikir begini? Ada apa pada 31 Ogos 1957 sehinggakan perlu diraikan dengan begitu meriah sepanjang 60 tahun yang lalu? Perarakan di sana sini, lagu-lagu patriotik yang kian bercambah saban hari. Apakah motifnya?
Kemerdekaan adalah satu titik permulaan kepada pembangunan dan kemajuan negara yang sebelum ini telah dijajah begitu lama oleh Jepun dan British. Melalui kemerdekaan juga, rakyat mampu untuk menyuarakan pendapat dan sama-sama memilih hala tuju negara ke arah yang lebih baik tanpa ada sekatan dari mana-mana pihak. Ada juga pihak mendefinisikan merdeka sebagai satu bentuk pembebasan negara ke arah pembentukan negara bangsa.
Penderitaan zaman penjajahan itu hanya orang-orang lama yang pernah merasainya sahaja yang tahu. Meskipun situasinya ada dipaparkan dalam kaca televisyen dan buku-buku sejarah, pedih peritnya itu tidak akan pernah sama. Kerana itu, momen pada 31 Ogos 1957 sangat bermakna buat negara terutama sekali pada golongan yang betul-betul merasaikan detik kemerdekaan itu sendiri pada 60 tahun lepas.
Meskipun pada dasarnya kemerdekaan mempunyai definisi yang sama, penerimaan dan penghayatan tetap berbeza terhadap setiap individu pada setiap lapisan generasi. Pada generasi Baby Boomers (pasca kemerdekaan) mereka merasakan kemerdekaan adalah satu titik dimana mereka tidak perlu lagi hidup dalam ketakutan, bebas bersuara dan mampu memilih yang terbaik untuk negara. Namun jika dibandingkan dengan generasi Millenium (kini) mereka merasakan kemerdekaan adalah lebih kearah kemajuan dan pembangunan negara ke arah yang lebih baik. Faktor perbezaan ini adalah kesan dari pengalaman lampau, persekitaran serta pendedahan yang di alami oleh generasi tersebut.
Pernahkah anda terfikir, bagaimana kemajuan Negara tanpa kemerdekaan? Apa perkembangan teknologi tanpa kemerdekaan?
Mustahil kita dapat membalas Whatsapp dengan senang sekiranya kita masih lagi dijajah. Mustahil kita dapat kemaskini gambar baru ke akaun Instagram dan Facebook sekiranya kita masih lagi dijajah, apatah lagi menikmati hidangan KFC dan McDonald bersama rakan dan keluarga tersayang. Lihatlah pembangunan dan teknologi di sekeliling mu. Dapatkah kita merasai semua ini tanpa keringat jerih payah hero-hero Negara semasa ingin mendapatkan kemerdekaan?
Walaupun kita didedahkan bahawa kemerdekaan yang kita kecapi pada 60 tahun lepas adalah rundingan damai oleh Perdana Menteri Malaysia pertama Tunku Abdul Rahman terhadap British di London, disebaliknya terdapat banyak darah dan nyawa pahlawan tergadai demi mempertahan ibu pertiwi.
Masihkah anda ingat pengorbanan tokoh kemerdekaan sebenar?
Dato Maharajalela menentang JWW Birch.
Kisah Rentap yang berani.
Kemunculan semula Mat Kilau.
Kematian Tok Janggut yang tragis.
Semangat demi mempertahankan negara serta sifat patriotik dari tokoh-tokoh kemerdekaan ini haruslah kita ambil teladan dan iktibar. Sanggup mereka bergadai nyawa demi memastikan tanah air bebas dari penjajah. Untung tempiasnya kepada generasi sekarang. Meskipun kita tidak dapat menyumbang ke arah kemerdekaan seperti pejuang-pejuang terdahulu, kita seharusnya menghargai kemerdekaan dengan menanamkan sifat patriotik dan sayangkan negara. Tanamkanlah sifat-sifat murni ini kepada generasi seterusnya supaya penghayatan dan penghargaan kepada kemerdekaan tidak hilang ditelan zaman.
Malaysia yang kita tinggal sekarang sangat jauh berbeza dari 60 tahun lepas. Meskipun berbataskan undang-undang yang sama, kita sudah mampu membuat keputusan sendiri untuk negara bangsa. Bebas bergerak ke sana ke mari tanpa merisaukan sebarang sekatan. Malah dikurniakan nikmat teknologi dan digital yang amat memudahkan pergerakan harian. Apa lagi yang kita mahu?
Terima kasih kepada setiap yang menyumbang kearah kemerdekaan negara. Tanpa sekecil-kecil sumbangan semangat dan usaha, tiada Malaysia sampai ke tahap ini.
Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia ke 61. SAYANGI MALAYSIAKU!
Leave A Comment